Tjp9mgLryeJXitBMITCspm9yqHIXcaOTWeel9Pl4

10 Kesalahan Biasa Yang Dilakukan Oleh Calon Temuduga

Post a Comment
Temuduga - 10 Kesalahan Biasa Yang Dilakukan Oleh Calon Temuduga | Salam sejahtera. Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada anda kerana sudi mengikuti Kursus Temuduga Online ini. Untuk pengetahuan anda, kursus ini adalah kursus pendek bagi anda yang ingin melakukan persediaan untuk menghadiri temuduga. Jangan khuatir tentang bayaran kerana saya memberikan kursus ini secara percuma kepada anda.

10 Kesalahan Biasa Yang Dilakukan Oleh Calon Temuduga

Mungkin anda pernah menghadiri beberapa siri temuduga tapi masih belum lagi beroleh pekerjaan. Tidak mengapa. Jangan berasa kecil hati atau kecewa jika syarikat yang anda hadiri temuduga tidak berminat dengan anda. Ini kerana pada zaman sekarang anda perlu bersaing. Sesebuah syarikat akan menerima ratusan resume untuk sesuatu tawaran pekerjaan yang diiklankan. Majikan perlu menapis ratusan permohohan kerja ini sebelum mereka membuat keputusan memilih calon yang sesuai. Kemudian mereka akan memilih 10 calon terbaik untuk ditemuduga. Daripada 10 calon tersebut, hanya tiga daripada mereka akan dipilih untuk temuduga seterusnya.

Baiklah, pelajaran pertama...

Anda tentu pernah dengar kisah calon-calon temuduga yang nampak hebat. Akan tetapi ketika sesi temuduga, dialah individu yang paling teruk. Pada masa yang sama, ada individu yang nampak biasa-biasa sahaja. Akan tetapi, dia mudah mendapatkan pekerjaan.

Apakah yang telah kesalahan yang telah dilakukan oleh individu yang gagal tadi? Di bawah ini saya senaraikan 10 kesalahan yang sering dilakukan oleh calon-calon temuduga. Mari kita belajar daripada kesilapan mereka supaya kita dapat mengambil pengajaran.


1. Cara Bersalam Yang Lemah

Cara Bersalam Yang Lemah http://buatresume.blogspot.com/

Peluang pertama anda untuk menonjolkan diri anda ialah pada tiga saat pertama berjabat tangan dengan penemuduga ketika memulakan sesi temuduga. Jika cara berjabat tangan anda betul, ia akan memberikan gambaran yang positif tentang diri anda kepada penemuduga. Jika genggaman tangan anda lemah, maka adalah hampir mustahil untuk anda membina hubungan yang baik dengan penemuduga. Ini kerana setiap cara bersalam mempunyai maksudnya yang tersendiri.
* Genggaman tangan yang lemah dan kendur: Memberikan gambaran tidak berminat dan lemah.
* Bersalam dengan menggunakan hujung jari: Menunjukkan kurang minat untuk bergaul.
* Genggaman yang terlalu keras: Menunjukkan rasa tidak ikhlas (seperti seorang jurujual yang terlalu agresif).
Bagaimanakah cara bersalam yang betul? Caranya ialah dengan menggenggam sedikit sahaja tangan penemuduga. Jangan terlalu kuat dan jangan terlalu lemah. Yang penting anda dan penemuduga berasa selesa. Untuk mendapatkan cara bersalam yang paling betul, anda perlu berlatih dengan rakan-rakan anda. Selepas itu, minta mereka kritik dengan ikhlas dan beritahu tentang perasaan mereka tentang anda.


2. Terlalu Banyak Bercakap

Dalam temuduga, anda perlu bercakap. Jika anda lebih banyak diam dari bercakap, ia menunjukkan anda seorang yang pasif. Namun sekiranya anda terlalu banyak bercakap, ia tidak bagus juga.

Berikut adalah dua bentuk banyak bercakap dalam temuduga dan gambarannya.

* Menjawab soalan yang mudah dengan panjang berjela-jela – Gambaran: Anda tidak faham apa yang dimaksudkan oleh penemuduga.
* Bercakap dengan nada gelisah – Gambaran: Anda sedang menyorokkan sesuatu atau sedang menipu.

Untuk mengelakkan bentuk terlebih cakap ini, anda perlu membuat latihan menjawab soalan secara bersahaja. Dapatkan soalan-soalan yang sering ditanya ketika temuduga dan berlatih cara menjawabnya dengan rakan anda. Dengan melakukan ini, anda akan lebih bersedia dalam temuduga seterusnya.


3. Bercakap Perkara-perkara Yang Negatif Tentang Majikan/Bekas Majikan

Cara paling cepat untuk anda TIDAK diterima bekerja ialah menyatakan perkara-perkara negatif tentang majikan atau bekas majikan anda. Walau seteruk mana majikan anda itu, jangan sekali-kali menyatakan perasaan tidak puas hati anda itu di hadapan penemuduga. Walaupun tuduhan anda itu memang benar dan munasabah, anda akan gagal dalam temuduga tersebut. Ini kerana anda akan dianggap tidak menunjukkan rasa hormat kepada majikan anda.

Oleh yang demikian, apabila diminta bercakap tentang majikan anda, pastikan anda bersedia dengan jawapan-jawapan yang positif sepanjang pengalaman anda dengannya.


4. Datang Terlalu Awal Atau Lewat

Calon-calon yang datang lewat akan memberikan gambaran yang negatif kepada penemuduga. Jika dalam sesi temuduga anda sudah terlewat, penemuduga pasti beranggapan bahawa anda akan selalu lewat ketika bekerja nanti.

Namun begitu anda juga tidak perlu datang terlalu awal. Sekiranya anda datang terlalu awal, misalnya satu jam atau 30 minit sebelum temuduga, ia akan memberikan gambaran yang kurang baik juga. Anda akan kelihatan seolah-olah terlalu terdesak untuk mendapatkan pekerjaan. Jadi, tunjukkan yang anda menghargai masa yang anda miliki. Jadi jangan datang terlalu lewat atau terlalu awal.


5. Bersikap Kurang Sopan Dengan Penyambut Tetamu (Receptionist)

Disebabkan orang pertama yang anda akan jumpa ketika temuduga nanti ialah seorang penyambut tetamu (receptionist), anda perlu bersedia. Jangan bersikap tidak sopan, biadap dan tidak profesional dengan receptionist. Ini kerana penilaian temuduga anda bermula dari sini. Penyambut tetamu boleh diibaratkan sebagai CCTV kepada penemuduga. Mereka mempunyai kuasa untuk menentukan samada anda layak atau tidak bekerja di situ disebabkan sikap dan tingkahlaku anda. Selepas anda pulang, penemuduga mungkin akan bertanyakan sesuatu kepada receptionist. Mungkin tentang tingkah laku anda.


6. Bertanya Tentang Faedah, Percutian Atau Gaji

Bertanya Tentang Faedah, Percutian Atau Gaji

Pada akhir sesi temuduga, biasanya penemuduga akan memberi peluang kepada anda untuk bertanyakan soalan jika ada. Namun ini tidak bermakna anda boleh tanya sebarang soalan. Soalan yang perlu anda elakkan ialah soalan bertanyakan tentang faedah, percutian atau gaji yang anda akan terima. Biarpun perkara ini penting bagi anda, namun biarlah penemuduga menentukannya. Selagi penemuduga tidak membangkitkan perkara ini, selagi itulah anda harus berdiam diri.


7. Tidak Melakukan Persediaan Untuk Temuduga

Jika anda tidak melakukan sebarang kajian tentang syarikat sebelum menghadiri temuduga, anda sebenarnya secara terang-terangan telah memberitahu syarikat bahawa anda tidak berminat dengan syarikat tersebut. Ini kerana salah satu cara untuk menunjukkan anda mengetahui banyak perkara tentang syarikat ialah dengan mengajukan soalan-soalan yang berkaitan dengan syarikat kepada penemuduga. Jadi, lakukan persediaan yang cukup.


8. Umm...Err...Aaa...


Elakkan daripada mengeluarkan bunyi-bunyi sebegini ketika sesi temuduga. Ini kerana ia akan menunjukkan anda gemuruh dan tiada keyakinan diri. Penemuduga boleh mengesan perkara ini. Oleh itu anda perlu sentiasa bertenang. Salah satu cara untuk menghindari perkara ini ialah dengan berkongsi cerita kejayaan-kejayaan yang anda telah capai sepanjang kerjaya anda kepada penemuduga. Anda pasti akan berasa lebih tenang dan selesa sepanjang temuduga.


9. Kontak Mata (Eye Contact)

Melihat mata penemuduga adalah sangat penting dalam sesi temuduga. Ketika menjawab soalan, anda perlu bertentang mata dengan penemuduga. Jika anda bercakap sambil memandang ke bawah, memandang tingkap, lampu dan sebagainya, anda akan dilihat seperti tidak mempunyai keyakinan diri dan sedang menipu.

Sekali lagi, perkara ini perlu dilatih terlebih dahulu bersama rakan-rakan anda.


10. Gagal Menyesuaikan Diri Dengan Gaya Komunikasi

Anda perlu berkomunikasi dengan baik dengan penemuduga. Lebih penting daripada itu, anda perlu menyesuaikan gaya komunikasi anda dengan gaya komunikasi penemuduga. Contohnya, jika penemuduga tersebut seorang yang serius tentang perniagaannya, jangan cuba berjenaka dengan membawa cerita-cerita lucu. Anda perlu berkomunikasi dengannya secara jelas dan serius seperti perbincangan dalam perniagaan. Begitu juga sebaliknya.


All the best,
Hafiz Lidin
Penulis E-Book Teknik Menjawab Soalan Temuduga
Teknik Menjawab Soalan Temuduga


Related Posts

Post a Comment